Teater tradisional / Transisional Bangsawan

           BANGSAWAN DI TANAH MELAYU

     Bangsawan atau Opera Melayu adalah suatu bentuk teater yang unik kerana telah menjadi seolah gabungan unsur-unsur teater tradisional dan teater moden. Kerana inilah, bangsawan merupakan batu asas kepada drama moden di Malaysia. Istilah ‘opera’ dalam drama Bahasa Melayu tidak membawa erti yang sama seperti Opera atau Opera Itali di negara-negara Barat.

     Maksud saya di sini, seperti namanya, bangsawan membawa maksud ‘orang mulia’ sempena menggambarkan kehidupan golongan berkelas tinggi ini dalan sosiologi Melayu. Bentuk teater ini juga banyak memerihalkan isu-isu ahli kelas mulia ini. Maksud umum ini adalah seperti yang diterangkan oleh Rahmah Bujang.
    
     Menurut sumber lain pula, bangsawan adalah melodramatis dan menjadi sebuah drama semi-opera yang menggabungkan teater dan lagu. Sumbernya boleh dikatakan berasal dari Arab Roman, sastera Islam, dan senantiasa tertumpu pada penguasa dan aristokrat dengan memilih beberapa tema tertentu.

   Namun, apa yang pastinya adalah bentuk teater tradisional Melayu ini sebenarnnya merupakan adaptasi bijak orang Melayu ke atas persembahan-persembahan yang serupa berasal dari India. Orang tempatan ketika itu mengambil konsep yang sama tetapi menggantikan Bahasa Hindi dan dewa-dewi Hindu menjadi Bahasa Melayu dan legenda-legenda Melayu kita sendiri.



            ASAL-USUL BANGSAWAN

     Menurut Mohamed Ghouse Nasaruddin dalam bukunya bertajuk ‘Teater Tradisional Melayu’, Bangsawan adalah suatu bentuk teater di mana kemunculannya telah dipengaruhi secara dominan oleh Wayang Parsi atau mendu yang dibawa pada kali pertama di Pulau Pinang pada tahun 1870-an oleh pedagang-pedagang India yang berurusan dengan Syarikat Hindia Timur (The East India Company).

     Ramai yang cuba meniru aksi-aksi lakonan pementasan Wayang Parsi ini lantas pementasan Wayang Parsi tempatan diberi jolokan Wayang Parsi Tiruan. Di sinilah bermulanya, Bangsawan. Apabila semakin lama, aktivis lebih suka menggunakan watak-watak diraja dan dari sinilah lahirnya nama Bangsawan untuk teater genre ini.

     Kerana Pulau Pinang tempat lahirnya, maka pertubuhan kumpulan bangsawan profesional pertama adalah kumpulan Mamak Pushi iaitu The Pushi Indera Bangsawan of Penang. Dari sinilah, bangsawan benar-benar mula berkembang pesat.


 SEJARAH PERKEMBANGAN BANGSAWAN

     Teater genre ini sememangnya mendapat sambutan pada awal kemunculannya. Tiada sumber hiburan lain pada ketika itu melainkan cerita-cerita Tok Selampit dan Penglipur Lara serta opera-opera Cina. Kini, apabila diberi peluang menikmati sebuah persembahan teater yang baru, menarik tetapi sangat mudah difahami maka ramailah peminat-peminat setia bangsawan terutama dalam lingkungan 1920-an hingga 1930-an.

     Ramai ketika itu amat tertarik pada dunia bangsawan kerana kegemerlapan dan glamor menjadi pelakon bangsawan ketika itu amat didamba oleh semua individu. Selain daripada itu, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa pada ketika itu, sesiapa saja yang terlibat dalam sesebuah produksi bangsawan, akan sentiasa sibuk dan bekerja. Malah, kerana menjadi seorang Prima Donns atau Orang Muda terlalu lumayan pulangannya, ada yang sanggup merintis dari kecil dalam sesebuah kumpulan teater.

     Antara bukti kegemilangan bangsawan ketika itu adalah ketika adanya beberapa orang kaya yang begitu berminat dengan sesebuah kumpulan bangsawan itu sehinggakan mereka membeli kumpulan tersebut lantas berniaga persembahan bangsawan pula. Antaranya adalah, Mamak Pushi sendiri. Beliau memiliki tiga kumpulan bangsawan yang berbeza yakni Pushi Indera Bangsawan of Penang, The Prince of Whales Theaterical Company dan Sri Mudawan.

     Pun begitu, menjelang 1945, bangsawan sudah mula merosot. Dari aspek sosialnya adalah disebabkan beberapa orang Sri Panggung yang meninggalkan kumpulan bangsawan mereka. Umum mengetahui bahawa ramai penonton hadir lazimnya demi menonton kecantikan, bakat dan kemerduan Sri Panggung di pentas bangsawan.

     Berikutan itu, Prima Donna ini pastinya akan dipikat oleh orang yang kaya atau berkuasa. Contohnya, Miss Erah pernah berkahwin dengan Sultan Perak kerana perkara sebegini akan dapat menjamin masa depannya. Sejurus selepas berkahwin, Miss Erah meninggalkan terus bangsawan dan para penonton turut sama berkurangan.

     Dari aspek lain pula, media elektronik merupakan musuh utama teater genre ini. Semakin ramai yang lebih berminat untuk menonton televisyen atau mendengar radio dari menonton pementasan sebenar. Ramai pula pelakon bangsawan asalnya kini telah berkhidmat untuk berlakon filem yang bayarannya jauh lebih lumayan dari teater. Media hiburan ini juga lebih meluas dan menarik serta moden – sesuai sangat dengan masyarakat kini yang inginkan segalanya segera dan cepat.

ELEMEN-ELEMEN BANGSAWAN
Naskah Lakon
                 Bangsawan tidak memiliki jalan cerita yang tetap atau skrip bertulis tetapi ada senario atau ringkasan cerita yang dicipta oleh taukeh-taukeh panggung. Menurut Samat Salleh dalam bukunya ‘Aspek Lakonan di dalam Teater Bangsawan’ muka surat 78, senario lebih berupa rangka situasi tanpa apa-apa dialog bertulis. Jika ada pun skrip bertulis, dialognya ringkas-ringkas sahaja.

     Menjadi tanggungjawab dan kemahiran pelakon bagi mewarnai dialog-dialog ini dan seterusnya menyertakan aksi, gerak isyarat, intonasi, ekspresi dan memberi makna pada situasi. Kadang kala, pementasan bangsawan adalah secara spontan. Lahirnya sebarang skrip adalah atas kreativiti dan inovasi taukeh panggung (pengarah persembahan) bersama atau tanpa para pelakon.

     Lazimnya, cerita tidaklah berpandu citarasa taukeh panggung tetapi amat menitikberatkan audiensnya. Jika ramai yang tinggal di kawasan itu berketurunan Cina, maka mereka akan memainkan opera-opera seperti Bangsawan Panglima Ah Chong.

     Biasanya, sebelum pementasan, taukeh akan mengeluarkan senario atau mana-mana cerita yang menjadi pilihannya. Setelah memberi sedikit taklimat, perjalanan sesebuah persembahan itu bergantung 100% pada improvisasi pelakon.

    Dari aspek gaya bahasa pula, hal ini bergantung pada pengucapnya. Jika pengucapnya berasal dari istana dan berdarah raja maka bahasa yang digunakan hanyalah Bahasa Istana. Kontradik pula jika pengucapnya hanya dari kampung kebanyakan, mereka dilarang sama sekali menggunakan Bahasa Istana maka mereka menggunakan bahasa pasar atau Melayu Biasa.
  
     Watak-watak dalam bangsawan sememangya ada arahan atau syarat yang patut dipatuhi. Dalam setiap naskah bangsawan, watak-watak berikut wajib diadakan ;
                      i.            Wira / Orang Muda
·         Lelaki yang memegang watak utama
·         Memiliki suara yang lunak
·         Rupa paras yang segak tampan
·         Pandai bersilat
·         Biasanya ditegah dari berjanggut dan bermisai
                    ii.            Wirawati / Sri Panggung
·         Menjadi daya penarik
·         Cantik jelita
·         Pandai menyanyi
·         Sri Panggung yang benar-benar menarik akan dijadikan Prima Donna
                  iii.            Ahli lawak
·         Sepenting watak Sri Panggung
·         Pandai berlawak
·         Solekan, kostum, gaya bahasa berbeza dari watak lain
·         Memberi comic relief dalam suasana tegang
                  iv.            Raja atau Sultan
·         Nampak padanya ciri-ciri darjat
·         Tenang dan terkawal
·         Sopan (tidak boleh ketawa dengan kuat
·         Segak
                    v.            Permaisuri
·         Hanya mendampingi Sultan]
·         Kurang peranan dan dialog
                  vi.            Menteri-menteri
·         Pembesar-pembesar istana
                vii.            Jin
·         Antagonis cerita
·         Jahat serta jahat
·         Bertubuh besar, bersuara garau
·         Bermisai, berjanggut
              viii.            Pertapa *
·         Sekiranya tidak perlu
                  ix.            Hulubalang
·         Pembesar istana
                    x.            Dayang-dayang / inang pengasuh
·         Pengasuh puteri

            Beralih pula pada aspek seterusnya, jenis-jenis cerita bangsawan. Kebebasan pada skrip bertulis tidak bermakna ia satu bentuk penulisan yang bebas. Antara 6 jenis-jenis cerita bangsawan adalah :
i.                    Kisah kezaliman pemerintah terhadap rakyat jelata
ii.                  Kezaliman permaisuri muda terhadap putera/puteri dan permaisuri tua
iii.                Jodoh putera/puteri yang dipertemukan dalam bangsawan.
iv.                Antara Raja Dunia dengan Puteri Kayangan
v.                  Kisah cinta dua taraf yang berlainan.
vi.                Perlawanan bagi menonjolkan kegagahan wira

 Lakonan
            Dalam setiap pementasan atau naskah bangsawan, WAJIB diwujudkan ucap tetap dalam perjalanan cerita. Inilah ciri yang penting dalam benar-benar menjadikan pementasan atau naskah bangsawan yang autentik.
Contohnya -:
i.                    Sembah memberitahu sesuatu
“Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, patik mendatang sembah”
ii.                  Sembah memohon sesuatu
“Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, patik merafak sembah”
iii.                Sembah menurut perintah
“Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, titah tuanku terjunjung d atas batu jemala patik”
iv.                Sembah ketika memaklumkan seperkara lain
“Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun”

            Seterusnya, dalam bangsawan sememangnya wajib ada gerak tetap. Gambar-gambar berikut dapat menerangkan sedikit contoh pergerakan tetap yang ada dalm bangsawan.

            Ini adalah angkat sembah keris.


            Dalam bangsawan, intonasi pengucapan dialognya amat unik dan berstruktur. Intonasi dalam bangsawan dipanggil kiok. Kiok adalah lenggokan bahasa yang memberikan kelainan daripada pengucapan dialog drama biasa. Contoh lazimnya adalah ketika ingin memanggil orang lain.

            Adegan tarik nasib dalam bangsawan pula lebih banyak menjadi simbol kepada babak sedih atau babak berduka lara. Lazimnya dalam babak ini dinyanyikan sedikit lagu yang mendayu-dayu bagi menarik perasaan sedih penonton. Antara lagu tarik nasib yang sesuai dinyanyikan adalah lagu Laksamana Mati Dibunuh.


 Sinografi / Rekabentuk Produksi Bnagsawan

            Kita sudah sedia maklum dengan peranan muzik yang amat penting dalam permainan teater bangsawan ini. Walau cenderung mengunakan alatan tradisional, semakin hari semakin banyak alatan muzik moden dpat diadaptasi bunyinya untuk pementasan teater bangsawan.
kump pemuzik bangsawan
            Yang menjadi keutamaan adalah lagu yang dihasilkan dan bukan alatan yang mengahsilkan lagu itu. Contoh-contoh alat muzik bangsawan adalah piano, biola dan set gamelan yang lengkap. Pernyataan ini mengukuhkan lagi fakta bahawa bangsawan sebenarnya gabungan unsur moden dan tradisional.
           
            Tambahan pula, sinografi dari aspek latar dalam bangsawan sebenarnya amat terperinci. Bangsawan menitik beratkan penggunaan cyclorama atau back drop yang dilukis sendiri. Cyclorama akan sentiasa bertukar setiap kali extra turn berjalan. Sememangnya itu jugalah fungsi eztra turn di mana selingan-selingan ini memberi kesempatan pada pelakon untuk menukar kostum dan set bertukar wajah. Penggunaan tirai pula adalah harus.
extra turn
            Tasmad, tasmad adalah suatu nilai spectacular dalam pementasan bangsawan. Aristotle pernah menyatakan bahawa antara 6 unsur penting dalam drama adalah nilai kekaguman atau spectacular. Apa-apa helah yang dilakukan di atas pentas biaaanya dilakukan untuk mencuri perhatian penonton dengan perkara-perkara yang menakjubkan.
            Penggunaan kostum pula jika diikutkan berbeza antara pelakon watak atasan dan watak bawahan. Watak-watak diraja akan menggunakan jenis kain tertentu dengan warna dan corak tertentu.  

Kostium watak lelaki
Kostium watak Perempuan


   Panggung
             Bangsawan juga perlu dipentaskan pada pentas-pentas yang baik dan elok tetapi aspek sinografi ini turut sama membuktikan bahawa genre teater ini menggabungkan elemen moden dengan tradisional. Pentas bangsawan adalah pentas proscenium dan pemilihan pentas selalunya bergantung pada arahan pengarah yang mengambil kira ruang lakon, ruang penonton serta skala set dengan pentas.
adegan Balai Rong


 TAJUK-TAJUK NASKAH LAKON BANGSAWAN


i.                    Megat Terawis
ii.                  Mahsuri
iii.                Sultan Mahmud Mangkat Dijulang
iv.                Puteri Lindungan Bulan
v.                  Tudung Saji Terendak Bentan
vi.                Sam Pit Eng Tai
vii.              Siti Zubaidah
viii.            Panji Semerang
ix.                Raden Mas
x.                  Laksamana Bentan
xi.                Puteri Li Po
xii.              Tok Mahat




  TOKOH-TOKOH BANGSAWAN



  PENUTUP
      Begitulah sedikit sebanyak kajian yang telah saya kumpul dan amati dalam tempoh masa yang sangat singkat ini. Sepanjang kajian ini dijalankan pelbagai soalan yang timbul dalam benak dan kemudiannya terjawab sendiri setelah benar-benar memahami maksud yang tersurat dan tersirat dalam setiap petikan fakta yang telah saya baca dalam buku. Namun begitu. Di akhir kajian ini timbul pula persoalan-persoalan yang tidak berjaya saya dapatkan jawapannya.

      Bangsawan merupakan suatu bentuk teater yang sudah tidak asing lagi dalam komuniti Melayu namun mengapa Bangsawan masih belum benar-benar dikenali? Ini adalah antara persoalan yang tidak dapat saya jawab sendiri. Sememangnya, generasi kini kurang mengambil peduli perihal budaya dan warisan dan lebih cenderung mencari hiburan semata-mata.

      Budaya hedonisme telah berjaya meragut tempat bangsawan di hati Melayu, namun saya bersyukur kerana berpeluang menikmati genre teater ini buat masa ini. Saya amat berharap agar persoalan saya tadi bakal saya jawab sendiri dalam usaha saya mengembalikan kegemilangan bangsawan ini.



______________________________________________________________________________  BIBLIOGRAFI

1.  Prof. Dr Ghulam-Sarwar Yousof, The Encyclopedia of Malaysia : PERFORMING ARTS, Archipelago Press : Kuala Lumpur, 2005/2005

2.      Mohamed Ghouse Nasuruddin, Teater Tradisional Melayu : Bangsawan , Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur, 2000

3.      Rahmah Bujang, Seni Persembahan Bangsawan, Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur, 1989


4.      Samat Salleh, Aspek Lakonan Di Dalam Teater Bangsawan, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia : Kuala Lumpur, 2005