PENGENALAN
Teater
tradisional Melayu merakamkan ragam kebudayaan masyarakat melayu tradisional.
Kebudayaan merupakan proses pembelajaran hidup yang berterusan dalam sesuatu
masyarakat. Di sini, masyarakat Melayu Tradisional yang menerima, mempelajari dan
menghayati kebudayaan mereka berasaskan perlakuan, pemikiran, sikap, nilai, dan
norma yang diterima dari turun temurun, dimanifestasikan dalam
persembahan-persembahan kesenian mencerminkan budaya masyarakat tersebut.
Dalam
kebudayaan ini juga termasuk sistem kepercayaan, sistem ekonomi, sistem sosial,
sistem kepimpinan dan sistem sistem lain lagi yang sudah tentu dipelajari
daripada ibu-bapa dan masyarakat mereka sendiri. Oleh itu, bila kita
memperhatikan teater tradisional Melayu, secara tidak langsung kita akan dapat
menghayati tentang sistem kepercayaan, sistem nilai dan norma serta sistem adat
resam mereka.
Disinilah
pemikiran masyarakat Melayu lama dapat dikaji, dihayati dan didedahkan dalam
tanggapan mereka melalui medium teater tradisional ini. Mek Mulung dan Makyung
merupak teater tradisional yang terdapat di Malaysia. Kedua dua teater ini
mempunyai persamaan meskipun mempunyai latar geografi berbeza. Mek Mulung sangat popular di utara semenanjung terutama
di Kedah. Manakala Makyung pula berasal dari Kelantan. Namun kedua-dua teater
ini mempunyai struktur ritual yang hampir sama iaitu upacara pemujaan terhadap roh, semangat dan dewa dewa.
STRUKTUR DRAMATIK
PERSEMBAHAN MAKYUNG DAN MEK MULUNG
Salah
satu unsur dramatik Makyung merupakan
taridra Melayu yang unik dan halus sifatnya. Ianya merupakan satu kombinasi dari unsur-unsur
tarian, muzik, drama dan komedi yang dipentaskan secara teater keliling.
Pelakonnya terdiri daripada gadis muda dan cantik yang mengambil watak lelaki
dan perempuan kecuali watak –watak
komedi atau ‘Peran’. Lahirnya keadaan begini kerana Makyung merupakan hiburan
bagi permaisuri dan puteri raja sahaja.
Berlainan
dengan teater yang popular di utara semenanjung Malaysia terutama Kedah. Mek
Mulung merupakan satu adunan kesenian yang digabungkan dalam satu persembahan.
Ianya juga terdiri daripada unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian, muzik dan
merupakan hiburan bagi rakyat
bagi meraikan sesuatu keramaian.
Meskipun
Makyung dan Mek Mulung mempunyai latar geografi yang berbeza, namun struktur
dramatik persembahan kedua-dua teater
ini mempunyai persamaan seolah olah kewujudnya datang dari jurai yang
sama. Ini dapat dilihat dari bentuk
persembahan yang dimulakan dengan upacara menyemah gelangang, bertabuh, upacara buka panggung, raja beradu, pecah cerita, merantau, klimak, pengakhiran dan upacara tutup panggung. Struktur
persembahan yang terdapat dalam persembahan
Makyung dan Mek Mulung mempunyai
nilai pragmatis yang tersendiri dimana ia mendapat pengaruh hindunisme yang kuat .
Unsur-Unsur
Menurun Dalam Persembahan Teater Melayu Tradisional, Amran (2006:10) menyatakan
bahawa:
Sebelum agama
Hindu-Budha tersebar di alam Melayu, masyarakat Melayu dipengaruhi oleh fahaman
animisme yang mempercayai kuasa ghaib, semangat,pemujaan roh datuk nenek dan
makhluk halus. Kepercyaan ini mengatur
tingkah laku manusia terhadap kegiatan yang berkaitan dengan fenomena
alam sekeliling kerana mereka percaya setiap fenomena alam dipengaruhi oleh
kuasa ghaib, penunggu atau semangat.
Dengan
kehadiran pengaruh hindunisme ini membuatkan persembahan Makyung dan Mek Mulung
menghasilkan satu persembahan yang meninggalkan kesan dramatik kepada penonton
terutama dari segi ritualnya.
UPACARA MENYEMAH
SEBAGAI AMALAN RITUAL DAN UNSUR DRAMATIK
Semah atau menyemah ialah upacara menyediakan
sajian untuk makluk halus untuk tujuan tertentu. Dalam upacara magis yang melibatkan
jin, upacara menyemah diadakan supaya jin yang diseru, dipanggil atau dipuja
akan datang membantu samada dengan tujuan rawatan, tarian atau hiburan. Dalam
masa yang sama makhluk ini diminta melindungi gelangang, orang yang terlibat
dalam persembahan dan juga penonton. Upacara menyemah juga diadakan untuk
mengelakan berlakunya ganguan yang melibatkan jin yang menghuni tempat atau
gelanggang itu diadakan, ganguan
jin luar atau angkara manusia
dengan bantuan jin yang di kenali sebagai sihir .
Ringkasnya, upacara ini dijalankan demi menjamin kelancaran permainan yang
diadakan.
Upacara menyemah berbeza, bergantung pada kelaziman yang dilakuan oleh
orang yang mengetuai sesuatu upacara, kehendak orang yang berkenaan atas
permintaan jin yang di beritahu melalui medium mimpi atau medium yang lain. Oleh itulah, bahan
yang disediakan berbeza. Amalan menyemah adakalanya melibatkan darah binatang
yang disembelih, sama ada yang ditadah atau dibiarkan membasahi bumi. Bahan
sajian seperti ayam panggang dan bahan lain adakalanya diletakan di satu tempat
sepanjang masa ketika sesuatu upacara dijalankan (Ghazali 1995:40).
Dalam
konsep Teater tradisional Melayu, upacara ini dikenali sebagai upacara sembah
guru. Bagi teater Mek Mulung upacara ini merupakan acara tahunan yang penting
dan wajib dilakukan serta menjadi amalan ritual bagi pemain Mek Mulung. Menurut
Ghazali (1995:65) upacara sembah guru yang berlangsung selama tiga malam ini
adalah upacara tahunan yang wajib
diadakan. Besar kemungkinan para ahli kumpulan Mek Mulung akan ditimpa
bencana terutamanya ketua kumpulan andainya upacara ini tidak dilengkapkan.
Upacara
sembah guru Mek Mulung bermula dengan majlis kenduri, seekor kambing akan di
sembelih untuk tujuan ritual. Kemudian persembahan sebenar dijalankan. Kebiasaannya pada malam pertama,
lakonan hanya diadakan sedikit sahaja. Lakonan disambung pada malam kedua. Namun
begitu, pada malam ketiga inilah
merupakan malam kemuncak dimana ramuan untuk persembahan kepada kuasa ghaib
disajikan dan terdapat beberapa ahli kumpulan yang mengalami fenomena trance atau lupa. Menurut ketua kumpulan
Mek Mulung Wang Tepus, fenomena ini
terjadi apabila semangat atau roh nenek moyang yang pernah menjadi pemain Mek
Mulung telah meresap ketubuh keturunannya dengan tujuan untuk merawat pesakit.
Berbeza dengan Makyung, acara sembah
guru adalah perlambangkan kewujudan konsep menuntut ilmu yang menghubungkan
guru dengan murid dan juga sebagai lambang perjanjian di antara pelakon dengan
semangat watak yang akan dilakonnya. Dalam konteks budaya
pula sembah guru merupakan adat kesopanan dalam masyarakat Melayu iaitu sebagai
tanda penghormatan murid kepada guru yang telah memberi ilmu pengetahuan
kepadanya. Dengan kata lain, sembah guru lebih merupakan penghormatan murid kepada
guru setelah tamat menuntut ilmu. Namun
begitu, terdapat upacara lain selain daripada upacara sembah guru yang dikenali sebagai istiadat berjamu. Istiadat
ini mempunyai nilai dramatik kerana
ianya melibatkan beberapa bahan dan
makanan untuk disajikan atau dipersembahkan kepada semangat.
Sama seperti Mek Mulung, istiadat ini diadakan sebagai lambang hadiah kepada semangat supaya tidak
mengganggu pelakon dan persembahan yang akan dijalankan.
NILAI DRAMATIK DALAM UPACARA BUKA PANGGUNG / GELANGGANG
Upacara buka panggung merupakan babak permulaan bagi
teater Makyung dan Mek Mulung. Biasanya dimulakan dengan lagu bertabuh yang
rentaknya dinamik. Lagu bertabuh penanda
bahawa persembahan akan dimulakan.
Kemudian para penari akan masuk ke pentas bagi memulakan persembahan. Makyung
memulakan persembahan dengan tarian mengadap rebab dimana
sekumpulan penari yang diketuai oleh Pak Yong
melakukan formasi tarian mengadap
seorang pemain rebab yang dikenali sebagai Tok Minduk.Tarian mengadap rebab
merupakan tarian yang paling sukar dan paling cantik dipersembahkan dalam
sesebuah persembahan Makyung. Tarian ini diiringi alunan muzik rebab dan
nyanyian yang mempunyai lirik yang amat indah dan
mendalam maknanya. Gabungan tarian, nyanyian dan muzik ini memperlihatkan
kesatuan yang padu antara ketiga-tiga unsur ini.Mereka akan duduk dengan tertib
mengadap rebab sambil menyanyi dan menari serta menggerakkan badan, tangan,
jari dan mata dalam gerakan lemah gemalai. Gerakan ini mempunyai maksud yang tersendiri.
Persembahan Mek Mulung juga dimulai dengan lagu
pengenalan yang disebut bertabuh yang terdiri
daripada tiupan serunai dan diikuti pula dengan alat-alat muzik lain. Ini
dianggap sebagai penghormatan kepada penonton sambil menarik perhatian penonton terhadap permainan
seterusnya. Bertabuh juga bertujuan meletakkan pemain-pemain dalam angin,
supaya mereka dapat bermain dengan baik.
Acara bertabuh ini selama lebih kurang 5 hingga 10 minit. Selepas bertabuh,
diikuti pula dengan nyanyian bertimpuh. Tarian
dimulakan sebaik sahaja selesainya lagu bertimpuh. Setiap gerak tari
diiringi muzik. Penari memulakan tarian ketika duduk di lantai dengan cara
membuka sembah, kemudian berdiri dan
terus melangkah membentuk sebuah bulatan. Tarian diakhiri dengan susunan duduk
sambil menyembah. Tujuh jenis tarian
dipersembahkan iaitu tarian sembah, tarian gambang, tarian puteri mabuk,
tarian menora, tarian sirama, tarian puteri masuk bilik air dan tarian
sedayung. Semua tarian ini mempunyai rentak muzik yang tersendiri.
Adakalanya upacara buka panggung
mengambil masa hampir 15 hingga 20 minit. Upacara ini mesti dipatuhi mengikut
adat dan budaya tersendiri. Setiap persembahan Makyung dan Mek Mulung mempunyai
struktur yang tertentu yang dimulakan dengan segmen yang penuh dengan kesopanan
dan adat serta mempunyai falsafah yang tersendiri. Dengan kata lain, struktur
dalam semua persembahan Makyung dan Mek Mulung mempunyai nilai estetika[8]
tersendiri dan banyak meninggalkan kesan dramatik kepada penonton.
ELEMEN DRAMATIK DALAM
PERSEMBAHAN
Memperkenal
Diri
Setiap persembahan Makyung dan Mek Mulung terdapat segmen
memperkenalkan diri. Dalam Makyung, Pak Yong selaku watak utama atau teraju
dalam persembahan akan memperkenalkan dirinya, negaranya, asal usulnya,
istananya dan mimpinya melalui ‘Lagu Ela’. Di sini letaknya nilai dramatik
dalam Makyung. Ini merupakan salah satu cara bagi mendekatkan penonton dengan
watak dan memudahkan penonton memahami jalan cerita. Dengan kaedah, ini
penonton dapat menghayati cerita yang dipersembahkan dengan mudah. Segmen
memperkenalkan diri ini memudahkan khalayak memahami siapa Pak Yong dan
permulaan kisah. Hal ini merangsang khalayak untuk mengikuti kisah selanjutnya.
Selain dari itu, jika diteliti kita dapat melihat bahawa setiap kali membuat
pergerakan, memohon sesuatu, mengambil sembarang tindakan atau bertukar episod,
watak-watak dalam cerita Makyung akan menyeru atau menyebut nama sendiri. Ini seolah-olah menunjukkan kelebihan atau
kebolehan yang ada pada diri mereka. Pengulangan ini juga membolehkan khalayak
mengingati nama watak-watak dan memudahkan khalayak memahami cerita melalui
watak.
Menurut Azreen, Mek Mulung juga
mempunyai segmen memperkenalkan diri, namun apa yang membezakan Mek Mulung
dengan Makyung adalah segmen memperkenalkan diri Mek Mulung berbentuk naratif[9]
dan santai tidak melalui lagu. Pengisiannya juga agak ringkas dan merujuk
kepada isu utama penceritaan. Biasanya ianya dilakukan oleh watak Permaisuri
Raja sebelum bertemu dengan Pak Mulung iaitu watak Raja dalam cerita (Noor
Azreen Aznan 2012: 15 November).Sebahagian dari dialog Mek Senik dalam cerita Putera Cahaya
Bulan sewaktu segmen pecah cerita:-
“baik lah hamba tubuh bernama Mek Senik,puteri raja Nang Mara,
dok rasa gundah gulana kerana tdoq malam tadi…ee …tak leh ghalit sini kepada
sini,dok beradu di anjung istana, masuk waktu dinihari, mimpi buleh merbah
putih, terbang hinggap di tapak tangan ,acu nak genggam terbang melayang ke
awan udara, ghaib di hati hilang dimata ,sayu sayang dalam hati. Baiklah aku
nak ke bilik inang ,nak ajak ke balai anjung istana jumpa dengan suami Putera
Cahaya Bulan nak habaq kat dia pasal mimpi ini.”
(Naskah Mek Mulung , Putera Cahaya Bulan)
Dapat
dilihat dengan jelas perbezaan segmen pecah cerita antara kedua dua teater ini.
Mek Mulung lebih menjelaskan agenda yang akan menjadi pokok persoalan kepada
penonton berbanding Makyung.
Pertukaran Babak dan
Latar Tempat
Pertukaran
babak bagi persembahan teater Mek Mulung dan Makyung mempunyai persamaan dimana
ianya juga dinyatakan dalam bentuk naratif mengenai arah tujuan tempat
berikutnya diikuti dengan muzik dan gerak kirat.
Apa yang menarik disini, pemain hanya
melakukan gerak dalam bulatan lawan arah jam sebagai simbolik kepada perjalanan
dari satu latar ke latar yang lain. Begitu juga dengan ketika pertukaran babak
lain. Dalam segmen pertukaran babak, ucap-tetap menjadi penanda kepada pemuzik
dan harus dimulakan dengan langkah kaki kanan.
Bagi melengkapkan aksi dramatik
pertukaran babak, muzik dan lagu akan mengiringi segmen ini dan
dinyanyikan oleh watak peran yang memegang watak sebagai pengasuh raja.
Walaupun Makyung dan Mek Mulung mempunyai kesatuan aksi yang sama ketika
melakukan pertukaran babak, namun
terdapat perbezaan dari struktur lagunya. Makyung menggunakan lagu Barat Anjung
dan Barat Cepat sebagai isyarat pertukaran adegan dan tempat. Manakala lagu
Timang Welu adalah lagu yang digunakan dalam persembahan Mek Mulung sewaktu
pertukaran babak.
Ucap-Tetap
Ucap-tetap
merupakan satu aspek yang penting dalam teater tradisional. Selain penanda
kepada muzik, ucap-tetap juga berfungsi semasa adegan untuk memangil watak yang
lain. Walaupun Mek Mulung dan Makyung mempunyai banyak cerita, ucap-tetap
menjadi format terpenting dalam setiap persembahan dan harus diucapkan dengan
gaya yang tersendiri mengikut watak dan adegan. Berikut merupakan contoh dialog
yang dikenalpasti sebagai ucap tetap bagi kedua-dua teater ini ketika adegan
Peran Muda memanggil Peran Tua:-
Makyung
“Baiklah sini tempat aku nk panggil
saing ku antara sorang pulaknya, awe…, awe……..”
Mek Mulung
“
ayuh la aku panggil dengan halus perlahan
dia tidak jaga, baiklah aku panggil dengan
kasaq gedegaq sekali lalu, ayuh kalau
gitu awang o awang oi”
Adegan Perang Yang
Dramatik
Dalam
persembahan Mek Mulung dan Makyung
adegan perang merupakan adegan yang penuh dengan aksi dramatik. Biasanya adegan ini merupakan adegan
pergaduhan antara watak Raja dengan watak kasar. Watak Kasar yang dimaksudkan
ialah watak Bota atau Rawana. Walaupun adegan ini merupakan adegan bergaduh,
namun tiada unsur atau aksi keganasan yang tonjolkan. Malahan ianya berbentuk
satu gerak kreatif atau tari yang di
koreograf dan diiringi dengan lagu Perang. Struktur adegan ini merupaka satu
signifikal gerak yang bermaksud dan unsur keindahan tetap menjadi ideal utama
dalam adegan ini.
KESIMPULAN
Struktur dramatik dalam sebuah
persembahan merupakan satu aspek penting dalam sebuah persembahan. Gabungan unsur dramatik ini berjaya menonjolkan suasana
peristiwa yang pelbagai sehingga menjadi satu kesatuan yang berjaya menarik
minat dan mencuit emosi pelakon dan khalayak. Kesan dramatik persembahan
menyebabkan pelakon dan khalayak dapat merasakan mereka sebahagian daripada cerita. Oleh yang
demikian dalam setiap persembahan Makyung dan Mek Mulung harus memberi perhatian
serius mengenai elemen-elemen dramatik agar wujud kesatuan yang kukuh dan
bermakna serta mampu menyerlahkan nilai estetika persembahan tersebut. Keunikan
taeater tradisional di Malaysia juga tidak
mementingkan aspek realistik seperti
teater konvensional yang tedapat pada teater moden. Dengan kata lain, Mek
Mulung dan Makyung mempunyai identiti unik dan tersendiri yang harus dijaga dan
pelihara sifatnya untuk masa hadapan.
Jadual Perbandingan
Struktur dramatik Makyung dan Mek Mulung
PERBANDINGAN
|
||
MAKYUNG
-Hiburan Raja dan Permaisuri
|
MEK MULUNG
-Hiburan Rakyat
|
|
Upacara Semah
|
-satu ritual yang
dilakukan sebagai penghormatan murid kepada guru setelah tamat belajar.
- bahan dan makanan
untuk disajikan atau dipersembahkan kepada ‘semangat’. Dan dikenali sebagai
upacara berjamu.
|
-upacara yang dilakukan
sebagai tanda hormat kepada roh nenek moyang.
- seekor kambing akan di sembelih untuk
tujuan ritual.
|
Tarian Buka Panggung
|
-muzik bertabuh
-mengadap rebab yang
terdiri daripada lagu dan tarian
|
-muzik bertabuh
-lagu bertimpuh.
-tujuh jenis tarian
dipersembahkan iaitu tarian sembah, tarian gambang, tarian puteri
mabuk, tarian menora, tarian sirama, tarian puteri masuk bilik air dan tarian
sedayung.
|
Ucap Tetap
|
-“Baiklah
sini tempat aku nk panggil saing ku antara sorang pulaknya, awe…, awe……..”
|
- “ ayuh la aku panggil dengan halus perlahan dia tidak jaga, baiklah
aku panggil dengan kasaq gedegaq
sekali lalu, ayuh kalau gitu awang o
awang oi”
|
Pertukaran Babak
|
-ucap tetap -Cak pera (Penanda untuk pemuzik dan sering
diguna oleh peran)
-diiringi lagu(Barat Anjung)
-gerak kirat
-pusingan lawan Jam
|
-ucap tetap -
Cak
semulut (Penanda untuk pemuzik dan sering diguna oleh peran)
-diiringi lagu(Timang Welo)
-gerak kirat
-pusingan lawan Jam
|
Adegan Perang
|
gerak kreatif (simbolik)
-diiringi lagu perang
-tiada aksi keganasan
|
-gerak kreatif(
simbolik)
-diiringi lagu perang
-tiada aksi keganasan
|
Perkenal
Diri
|
-Pak Yung memperkenal diri dengan lagu Ela.
|
-Pak Mulung Memperkenal diri dalam bentuk naratif atau bercerita.
|
_Amran Kasimin, 2006. Unsur-Unsur
Menurun Dalam Persembahan Teater Melayu Tradisional. Kuala Lumpur; Dewan
Bahasa Dan Pustaka.
_Ghazali Abdullah, 1995. Teater
Tradisional Melayu. Kuala Lumpur; Kementerian Kebudayaan Kesenian Dan
Pelancongan Malaysia.
_Habsah Nordin, 2008. Journal
ASWARA, Jilid 2- Estetika Persembahan
Makyung. Kuala Lumpur; Akademi Seni, Budaya Dan Warisan Kebangsaan.
_1991. Kamus Dewan Edisi
Baru. Kuala Lumpur; Dewan Bahasa Dan Pustaka.
_________________________________________________________________________________
mazlanmatrazi@yahoo.com
#tugasan kelas teater asia_Dr.Kipli Rahaman
#USM2012