Teater Teknikal:Sinografi:Peranan Pencahayaan Pentas

Pengenalan

Sebuah pementasan tidak kira sama ada pementasan teater, tari, opera, ballet atau konsert boleh dipersembahkan di mana-mana sahaja. Apa yang diperlukan hanyalah sekumpulan pemain dan penonton. Namun, kehadiran atau kewujudan elemen tambahan seperti set, prop dan pencahayaaan bukan sahaja akan memperkayakan lagi bentuk persembahan malahan turut memperkayakan mutu persembahan pemain dan meningkatkan nilai estetika penonton yang menyaksikan pementasan tersebut. Namun dalam pementasan tarian, penggunaan set latar, prop yang besar dan menarik bukan menjadi satu keutamaan yang besar. Elemen visual tersebut bukan tidak perlu tetapi ia tidak menjadi suatu kemestian sepertimana di dalam pementasan teater. Tarian tidak terlalu bergantung kepada elemen latar fizikal seperti yang dinyatakan itu tetapi lebih bergantung kepada keupayaan penari tersebut.

Walaupun begitu, untuk menafikan terus ketidakperluan kepada elemen visual adalah satu kesalahan dalam pementasan pentas. Setiap bentuk persembahan pentas memerlukan penataan pencahayaan tersendiri. Pencahayaan merupakan salah satu elemen visual yang penting. Elemen pencahayaan dalam seni pementasan khususnya tarian, selain daripada bertujuan untuk menerangi tubuh dan pergerakan penari, ia turut memainkan peranan sebagai agen dramatik dalam tarian, mengawal dan menarik perhatian, melakar dan membentuk imej, menyalur maklumat mengenai masa dan tempat, menyumbang kepada pengkayaan teknik dan mood serta menyampaikan idea-idea. Teknikal pencahayaan di dalam tarian tidaklah perlu serumit dalam pementasan teater. Ia hendaklah seringkas yang mungkin tetapi tidaklah sampai menjejaskan kualiti dan konsep tarian itu sendiri. Ringkas tetapi mampu menampilkan mood, warna dan kehidupan kepada tarian tersebut. Peranan pencahayaan tarian perlu bukan sahaja untuk tujuan hiburan semata malah ia sebagai satu cara untuk memberikan ‘nyawa’ kepada persembahan tarian itu.

Pencahayaan amat penting untuk memberi gambaran situasi daripada masa kini ke masa silam, menyinari gerak penari dan mempertajamkan ekspresi gerak dan tubuh penari, menambahkan mood dan atmosfera kepada sesuatu persembahan iaitu dengan permainan warna dalam pencahayaan pentas. Sebagai contoh warna terang menggambarkan keceriaan dan keseronokan, warna sejuk menggambarkan sesuatu perasaan dan keadaan kemurungan. Low lighting yang memberikan efek bayang-bayang mungkin menggambarkan keadaan misteri dan seram. Selain itu, pencahayaan dapat mencipta komposisi dengan menunjukan pandangan mata penonton kepada elemen-elemen yang penting iaitu dengan penggunaan teknik pencahayaan fokus. Pencahayaan juga dapat mencipta dimensi terhadap objek di atas pentas. Objek yang berbentuk tiga dimensi akan kelihatan rata jika lampu dipancarkan kepada satu arah sahaja. Namun begitu, bentuknya akan kelihatan jika memancarkan pencahayaan dipelbagai sudut dengan memanipulasi permainan sudut seperti backlight, downlight, frontlight dan crossing light. Pencahayaan juga mampu menonjolkan sesebuah stail dalam pementasan. Pencahayaan juga mampu memperjelaskan perkembangan aksi dramatik dalam sesebuah persembahan dengan menonjolkan mood perasaan dan juga perubahan mood yang berlaku bagi setiap adegan contohnya perubahan daripada perasaan ceria kepada rasa marah. Keindahan dalam pementasan hanyalah satu elemen kecil dan bukan satu keutamaan dasar. Namun begitu pencahayaan dalam pementasan tarian mestilah dibuat secara teratur dan sistematik. Pencahayaan tersebut tidak boleh dibuat sesuka hati dan sekadar untuk mencantikkan pentas dan persembahan sahaja. Pencahayaan tarian mempunyai fungsi dan tatacara tertentu yang perlu difahami dan dipatuhi. Berikut merupakan  enam elemen yang harus diberi perhatian untuk mencorak kesan pencahayaan pentas.

Kejelasan 
Kejelasan bermaksud kemampuan melihat secara jelas apa yang berlaku di atas pentas. Namun itu bukan bermakna setiap sudut pentas atau penari itu mesti disinari oleh cahaya sepanjang masa. Memadai hanya menyinari sebahagian ruang atau penari sahaja mengikut keperluan skrip dan sutradara. Kejelasan tertakluk juga dan bergantung kepada tahap ilmunisasi yang digunakan. Ini bergantung kepada kehendak skrip dan mood yang diperlukan. Dalam persembahan tarian, cahaya yang digunakan itu mestilah mampu menerangkan susuk tubuh dan gerak penari mengikut keperluan dan kesesuaian naskah. Hanya ruang yang digunakan untuk bergerak sahaja yang harus diterangi, sementara ruang lain boleh sahaja disuramkan atau digelapkan.

Mood dan Komposisi
Mood merujuk kepada kesan emosi hasil stimulasi olek kualiti, warna dan komposisi pencahayaan yang digunakan. Sementara komposisi pula adalah gubahan gambaran persembahan yang diciptakan oleh pencahayaan hasil gabungan bersama dengan penari, set, prop, kostum dan rias. Pemilihan warna cahaya itu bergantung kepada keperluan dan mood persembahan tarian itu sendiri. Yang penting ialah bagaimana komposisi cahaya itu dihasilkan menentukan corak penghasilan persembahan tersebut.

Fokus
Fokus dapatlah dimaksudkan sebagai kemampuan pencahayaan yang dipancarkan untuk menarik perhatian penonton terhadap apa yang ingin ditonjolkan oleh penari. Ia boleh dilakukan dengan memberikan mood dan gabungan komposisi warna yang sesuai pada ruang atau penari yang mahu difokuskan.

Kredibiliti
Kredibiliti melibatkan kemampuan pencahayaan mewujudkan kepercayaan sementara penonton terhadap situasi yang dipaparkan di atas pentas. Ini bukan bermakna situasi dramatik tersebut mesti dihasilkan secara realistik. Contohnya, skrip memerlukan latar suasana yang gelap gelita di dalam bilik, maka di atas pentas tidaklah boleh digelapkan sahaja ruang persembahan sebagai memenuhi kehendak skrip. Perlu dipancarkan kualiti cahaya yang sesuai agar penonton dapat melihat aksi yang terhasil atau apa jua yang perlu dilihat penonton. Ini berbalik semula kepada fungsi visibiliti tadi.

Kesatuan
Kesatuan melibatkan kemampuan pencahayaan menggabungjalinkan stail, warna dan lain-lain elemen dalam produksi; set, prop, kostum dan rias. Sistem penggubahan pencahayaan seperti yang telah sedia maklum akan hanya boleh dilaksanakan apabila semua elemen lain seperti yang dinyatakan sebelum ini telah berjaya disatukan dan disiapkan. Semua fungsi yang dinyatakan itu memberikan kesan yang besar kepada pementasan sama ada ia dirancang ataupun tidak. Walau bagaimanapun, fungsi-fungsi ini digunakan termasuklah kuantiti pencahayaan, sudut arahan, pergerakan, warna dan kuantiti pencahayaan. Kuantiti tersebut sebagai intensiti yang menjelaskan tentang tahap kuantiti cahaya yang digunakan. Kuantiti cahaya yang digunakan bakal menghasilkan kuantiti terang atau suram sesuatu objek yang dipancarkan cahaya ke arahnya. Ini boleh terhasil bergantung kepada jenis lampu yang digunakan, susun letak lampu, media warna yang digunakan atau lain-lain aksesori yang dipakai bersamanya.

Sudut Arah
Sudut arah atau direction merujuk kepada sudut di mana pencahayaan itu dipancarkan di atas pentas. Susun letak lampu baik di hadapan, sisi, bawah, atas atau belakang penari memberikan kesan yang berbeza. Kedudukan ini bakal menentukan atau mengubah bentuk tiga dimensi penari atau objek tersebut.

Pergerakan
Pergerakan melibatkan apa jua perubahan cahaya bagi menggambarkan pergerakan suasana dalam pementasan seperti terang dan gelap, perubahan waktu dan sebagainya. Sebarang perubahan cahaya akan menimbulkan keadaan suasana yang memberikan kesan kepada penonton.

Warna
Penggunaan warna memberikan kesan yang besar kepada mood persembahan. Penggunaan warna memberikan interpretasi berbeza terhadap mood dan situasi yang digambarkan. Contohnya, warna biru yang melambangkan kesayuan, mimpi dan sebagainya.

Tekstur
Ia melibatkan variasi kualiti cahaya yang digunakan. Iluminasi boleh sahaja bersifat lembut atau terfokus kepada keperluan persembahan. Penghasilan tekstur cahaya melibatkan pengawalan kuantiti pencahayaan yang digunakan. Ini boleh terhasil dengan penggunaan penapis atau filter dan jenis lampu.

_________________________________________________________________________________
mazlanmatrazi@yahoo.com
#teater teknikal_Prof Emeritius Ghouse Nasurrudin
#himpunan tugasan@usm2012